Assalamu'alaikum.
Maaf kerana saya lambat balas soalan saudari Nabila. Al-maklumlah sibuk dengan urusan. Mengenai pertanyaan saudari "mana lebih baik, cinta sebelum kahwin atau kahwin sebelum cinta".
Baik... Dalam konteks muda mudi sekarang.. Adakah dibolehkan mereka bercinta sebelum berkahwin... bercinta diantara manusia yang bukan mahram. Diantara lelaki dan perempuan yang tidak ada pertalian yang sah disisi Islam. Wahai kawanku semua.. Bukalah matamu, bukalah hatimu, tanyalah imanmu.... adakah dibolehkan bagiku bercinta sebelum berkahwin... ??? Jawapannya tidak boleh.
Sebab apa tidak boleh?? Ramai Yang bercinta?? Tak seronokla kalau tak bercinta?? Adakah bahagia kalau kahwin dulu baru bercinta?? Saya lihat mereka bahagia selepas bercinta??
Inilah soalan yang timbul bila saya kata tidak boleh. Bukan saya saja yang kata, tapi banyak ulama kata tidak boleh. Sebab muda-mudi sekarang bercinta cara barat. Sedangkan Islam memberikan kita jalan yang paling mulia iaitu pernikahan. Hari Valantine tu siapa yang anjur? Islam tak pernah suruh sambut apa-apa hari percintaan. Tapi sebaliknya kita disuruh meraikan pernikahan.” Pernikahan? Jadi salahkah percintaan kami?
Ingat tak, bila mana seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang seseorang di antara sahabat tu ada yang menuruti nafsu syahwatnya, apakah dia mendapat pahala?
Tahu tak apa Rasulullah SAW jawab?”
“Rasulullah SAW pun jawab: “Bagaimana pendapat kamu kalau dia meletakkan syahwatnya itu pada sesuatu yang terlarang, berdosakah dia? Begitulah. Tetapi kalau dia meletakkannya pada sesuatu yang halal, pasti dia dapat pahala.” (HR. Muslim)
Hasil dari pemahaman itu, saya simpulkan bahawasanya HARAM bagi kita BERCINTA SEBELUM BERKAHWIN.. kerana perkenalan yang pertama diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram akan membawa kepada pertemuan kedua dan pertemuan ketiga dan pertemuan keempat... mula hanya berpandangan, lepas tu berpegangan, lepas tu ingin merasa...dan akhirnya berzina.. Maka bersorak ler syaitan kerana seorang lagi hamba Allah bergelar Islam bakal menemani dirinya ke Neraka kelak...Nauzubillah...
Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat Nabi, iaitu al-Mughirah bin Syu'bah. Beliau memberitahu baginda bahawa beliau ingin mengahwini seorang wanita. Lalu baginda menyarankan agar beliau melihat dahulu wanita itu kerana ia boleh mendatangkan perasaan cinta kepada pasangan yang ingin dikahwini. (Rujuk al-Tirmizi: 1087. Diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nasai).
Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak kami dapati pada dua orang yang sedang bercinta itu (lebih baik daripada) nikah." – Riwayat Ibn Majah dan diklasifikasikan sebagai sahih oleh al-Busoiri dan al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah: 624.
Al-Sindi r.h berkata: "Hadis itu boleh merujuk kepada dua orang atau lebih. Maksudnya, jika timbul perasaan cinta antara dua manusia yang berlainan jenis, cinta itu tidak akan bertambah atau bertahan lama tanpa ikatan perkahwinan. Jika terjadi perkahwinan atas dasar cinta itu, ia akan bertambah kuat dari hari ke hari. " (Rujuk: Nota kaki Sunan Ibn Majah).
Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis Ibn Abbas r.a: "Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya." – Riwayat al-Bukhari.
Berhubung dengan batasan aurat bakal isteri, jumhur ulama berpendapat, hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tangan hingga ke pergelangan. Al-Auza'i berpendapat, dibolehkan melihatnya kecuali aurat, Ibn Hazm berkata, boleh melihat bahagian depan dan belakang wanita itu.
Menurut Ibn Qayyim, terdapat salah satu riwayat Imam Ahmad yang membenarkan bakal suami melihat apa yang zahir daripada tubuh bakal isteri seperti leher, betis dan sebagainya. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn Qudaamah dan al-Hafiz Ibn Hajar r.h. (Tahziib al-Sunan, ms: 25 – 26, al-Mughni, jil: 7, ms: 454 dan Fath al-Baari, jil: 11, ms: 78).
Antara pendapat ulama tentang batasan aurat bakal isteri ialah: Menurut Imam Syafie, tidak boleh melihat wanita yang ingin dikahwini tanpa menutup kepala (memakai hijab). Dia boleh melihat wajah dan tangan hingga ke pergelagan sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinannya. (Al-Haawi al-Kabiir, jil: 9, ms: 34).
Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.
Cubalah cari sejarah Rasulullah SAW. Ada tak kes Nabi kita Bercinta dengan Khadijah sebelum berkahwin? Ataupun dengan mana-mana isteri Baginda yang lain?
“Rasulullah SAW tauladan terbaik. Lelaki terbaik. Tak pernah sejarah yang mencatatkan percintaan Baginda sebelum kahwin melainkan yang diceritakan semua percintaan selepas kahwin. Jadi bercinta sebelum kahwin tu datang dari mana? Kalau dilakukan oleh Rasulullah SAW, bermakna kita yang bercinta sebelum kahwin ni pun mesti dapat pahala sebab mengikuti sunnah Baginda SAW. Mesti para sahabat dan ulama-ulama juga berlumba-lumba untuk bercinta sebelum kahwin. Ingat tak hadis Nabi SAW?
“Wahai orang muda, sesiapa pun di antaramu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin, kerana inilah satu cara menahan mata daripada melihat kepada keburukan dan memelihara kamu supaya suci dan mulia Dan sesiapa yang tak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa melemahkan nafsu” (Bukhari wa Muslim)
Rasulullah SAW tak sebut pun pasal bercinta, tak suruh pun kita bercinta. Tapi pernikahan yang dianjurkan. Kalau tak mampu ada cara lain. Sejajar dengan isi kandungan Al-Quran:
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia ciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.” Surah Ar-Ruum, ayat 21. Jadi kalau kita buat apa yang Nabi tak suruh, kita ikut sunnah siapa? Sedangkan perkahwinan itu adalah amalan Rasul-Rasul terdahulu. “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan......ilaa akhir ayat.” Surah Ar-Ra’ad, ayat 38.”
Bercinta selepas kahwin adalah merupakan sunnah Rasul. Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah s. a. w dan para sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai yang berkahwin atas pilihan ibubapa dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Para ibubapa ketika itu memilih calon menantu mereka berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad s. a. w melalui sabdanya : " Dikahwini wanita itu atas empat perkara : harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan". (mafhum hadis)
Bukan itu sahaja, malah trend masyarakat ketika itu juga sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi. Jadi perkahwinan melalui orang perantaraan (match maker) yang dipercayai kesolehannya juga mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang boleh dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya, seseorang dibolehkan melihat calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang pekerjaan, peribadi dan lain- lain latar belakang calon. Ini semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah - sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan maklumat tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan.Tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Marilah kita dekatkan semula keindahan cinta dengan mendekatkan diri kepada Pencipta cinta. Rumahtangga pasti berseri apabila suami isteri sama-sama cintakan Ilahi.
Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.